Sabtu, 15 September 2018


Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa

Imej yang berkaitan


Bermain adalah penting untuk kanak-kanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, iaitu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka.
Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanak-kanak serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Terapi ini juga digunakan dalam program intervensi yang berkesan seperti intervensi awal, terapi pertuturan, terapi pengurusan ibu bapa, intervensi keluarga kepada kanak-kanak yang mengalami rangkaian gangguan tingkah laku dan fizikal yang meluas seperti gangguan bahasa, gangguan kelakuan, Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), autisme dan serebral palsi.
Pelbagai bahan mainan (seperti barang permainan, bahan seni) dan kaedah mainan digunakan dalam terapi bermain yang disediakan dan dipandu oleh ahli profesional terlatih. Di rumah, ibubapa digalakkan untuk menggunakan permainan sebagai medium membina perhubungan ibubapa-anak positif, dan menyokong anak dalam perkembangan penggunaan kosa kata dan kemahiran komunikasi, sosial dan penyelesaian masalah.

Mengapa Bermain?
ADHD – Kanak-kanak ADHD mempunyai daya tumpuan singkat, bersikap hiperaktif dan luar jangkaan. Gejala ini menyukarkan kanak-kanak memberi tumpuan dan menghabiskan sesuatu tugasan. Mereka sering mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian di dalam kelas dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sama usia.

Penglibatan dalam permainan dan aktiviti yang sesuai dapat membantu kanak-kanak ADHD mengembangkan penumpuan yang lebih baik, meningkatkan keyakinan diri dan belajar bersosial serta berinteraksi secara betul dengan kanak-kanak lain. Waktu bermain juga merupakan peluang untuk memumpuk perhubungan yang erat dan positif antara ibu bapa dengan anak; yang biasanya tegang disebabkan oleh simptom ADHD.

Autisme – Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran berinteraksi dengan kanak-kanak lain secara biasa. Mereka lebih gemar bermain sendiri, menjadi obses dengan objek dan berada dalam dunia sendiri. Mereka juga kurang berkemampuan membaca ekspresi emosi dan isyarat sosial, menyebabkan perkembangan komunikasi-sosial mereka terjejas.
Permainan yang menumpukan pada minat kanak-kanak serta menggalakkan interaksi boleh membantu memperbaiki kemahiran komunikasi dan antara peribadi mereka.

Serebral palsi – Ia adalah suatu keadaan semulajadi yang menjejaskan ton otot, pergerakan dan kemahiran motor, mengakibatkan kekakuan, kesukaran bergerak dan pergerakan tidak sengaja. Kanak-kanak serebral palsi akan mengalami suatu tahap ketidakbolehan fizikal tertentu. Mereka mengalami kesukaran melaksanakan tugasan mudah seperti berdiri tanpa bergerak atau memegang objek.
Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.


Jenis mainan dan alatan sesuai bagi kanak-kanak istimewa


ADHD
  • Aktiviti sukan dan fizikal untuk membakar tenaga berlebihan mereka.
  • Permainan mudah dengan sedikit peraturan dan masa bermain singkat, contohnya teka-teki mudah agar mereka boleh menghabiskannya dan tidak akan rasa kecewa.
  • Aktiviti seni menggunakan krayon, cat dan plastisin untuk membantu menumpukan perhatian dan mengekspresi diri.
  • Lakonan imaginasi, seperti bermain drama, barang permainan seperti anak patung dan boneka, bagi membolehkan penggunaan imaginasi dan meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi.
Autisme
  • Alat mainan untuk merangsang deria, seperti duduk-dan-pusing, trampolin, buaian dan lubang bola untuk membantu kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, dan merangsang penglihatan.
  • Alat permainan tekstur menarik, seperti bola lembut bercahaya dan berbunyi untuk meningkatkan kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, merangsangkan penglihatan dan pendengaran.
  • Alat permainan mudah seperti blok dan permainan papan untuk membantu belajar tentang mengambil giliran, berinteraksi dan kemahiran sosial.
Serebral palsi
  • Alat mainan mudah yang memerlukan kemahiran manipulatif, seperti pasak bertingkat berwarna-warni, blok binaan, cantuman kepingan gambar yang besar. Ini membantu melatih kanak-kanak untuk memegang dengan betuk dan erat.
  • Gantung alat permainan pada tempat tidur bayi untuk menggalakkan kanak-kanak berlatih mencapai barang permainan di hadapannya; ini membantu mengembang kemahiran koordinasinya.
  • Barang permainan yang merangsang deria, seperti barang permainan bertekstur, berbunyi, berwarna atau berbentuk, seperti blok kayu dan pasir. Ibu bapa perlu mendapat nasihat pakar fisioterapi atau pakar terapi kerja terdahulu untuk memastikan barang mainan deria adalah bersesuaian untuk gangguan serebral palsi.

Sabtu, 8 September 2018


Kepentingan Sukan Kepada Kanak-kanak


Hasil carian imej untuk gambar kanak-kanak tadika


Kanak-kanak sukakan aktiviti di luar yang dapat menggerakkan tubuh badan dan melonggarkan segala otot sendi dengan sempurna. Baik, anak lelaki atau perempuan, kalau dapat keluar bermain di padang, dunia itu bagai mereka yang punya. Senyum sampai telinga masing-masing.
Sukan adalah suatu riadah. Secara definisinya, sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan dan sebagainya.
Terdapat beberapa kepentingan ataupun kebaikan pendidikan jasmani kepada kanak-kanak. Antaranya ialah :

1) Perkembangan Motor Halus dan Kasar

Perkembangan kedua-dua motor ini sangatlah penting kepada pertumbuhan kanak-kanak. Kemahiran motor pada amnya melibatkan hubungan antara otak, sistem saraf dan otak yang bekerja secara bersama.
2) Daya Pemikiran Kreatif

Sukan merupakan salah satu cara untuk kanak-kanak mencabar daya pemikiran mereka. Kanak-kanak dapat bertindak dan menyelesaikan masalah dengan kreatif dalam linkungan batas-batas kemampuan diri sendiri dan masa yang telah diberikan. Itu baru suatu cabaran yang menarik!
3) Sikap Kerjasama

Sifat kepimpinan dan kerjasama antara satu sama lain dapat dibentuk melalui acara sukan. Tiada istilah menang seorang diri dalam dunia hari ini. Semua perkara memerlukan kemahiran bekerjasama untuk sampai ke puncak yang diidam semua.
4) Disiplin
Sukan membentuk displin dan personaliti diri. Latih tubi demi latih tubi dalam suatu rutin sukan yang digemari bakal membuatkan anak itu bertanggungjawab mematuhi arahan dan displin terhadap diri sendiri.
5) Keyakinan Diri
Paling penting ialah semangat percaya pada kebolehan diri sendiri. Sukan mampu melonjakkan jati diri seseorang pelajar apabila setiap tugasan telah diselesaikan dengan sempurna. Ibu bapa juga melonjak gembira!

Hasil carian imej untuk gambar kanak-kanak tadika bersukan

Sabtu, 1 September 2018


CIRI-CIRI TADIKA YANG BERKUALITI

Tadika yang baik merupakan gabungan kehadiran infrastuktur, input pendidik dan usaha kanak-kanaknya. Tadika yang baik seharusnya menyediakan unsur-unsur yang menyokong perkembangan kanak-kanak dari semua segi. Ibu bapa yang mementingkan perkembangan anaknya yang menyeluruh perlu membuat pilihan berdasarkan ciri-ciri berikut:

Ciri 1: Refleksi persekitaran
Sewaktu menjalankan pengajaran, pengajar perlu menghubungkaitkan ilmu tersebut dengan persekitarannya. Contohnya pendidikan berkenaan mengira satu hingga sembilan perlu diikuti dengan permainan yang berkaitan nombor – hopscotch. Peringkat ini dikenali sebagai fasa pengukuhan (reinforcement). Lebih lama fasa pengukuhan digunakan lebih lama pengekalan ilmu atau modifikasi tingkah laku terjadi.

Ciri 2: Hiasan usaha kanak-kanak
Kelas yang suasana menarik dan kondusif belajar perlu dipenuhi dengan gantungan pelbagai hasil aktiviti kanak-kanaknya dan bukan hasilan pendidik atau orang asing. Ejaan yang salah tidak menggambarkan kelemahan kanak-kanak tersebut tetapi melambangkan kebanggaan pendidik dan kawan-kawannya terhadap usaha seseorang kanak-kanak untuk maju.

Ciri 3: Variasi teknik pengajaran
Pendidik yang baik akan mempelbagaikan teknik pengajarannya sepanjang masa. Pendidikan berbentuk formal dan tidak formal digunakan bagi mempertingkatkan kebolehan penyerapan komponen fizikal, intelektual, spiritual dan emosi seseorang kanak-kanak. Sewaktu pengajaran formal, penggunaan pengajaran berkumpulan, kumpulan kecil dan individu perlu digunakan bagi memastikan perkembangan setiap pelajar dilakukan berdasarkan kebolehan dan keperluan setiap kanak-kanak tersebut.

Ciri 4: Penggunaan cerita sewaktu rehat
Apabila penat melakukan pengajaran, pendidik sepatutnya menjalankan sesi bercerita interaktif. Sesi ini akan mempertingkatkan spiritual dan emosi pelajar. Oleh kerana ia dilakukan secara interaktif, jalan cerita dikembangkan berdasarkan kreativiti kumpulan kanak-kanak tersebut. Bagi memastikan sesi ini kurang membebankan, ia dilakukan secara berbaring atau duduk di bawah pokok. Asasnya ia sepatutnya dilakukan di mana sahaja yang dirasai menarik dan boleh mengurangkan tekanan belajar pada kanak-kanak. Perlu ditekankan sesi ini selalunya tidak berjadual dan dilakukan apabila sebilangan pelajar didapati penat.

Ciri 5: Interaksi kanak-kanak di dalam kelas
Interaksi kanak-kanak di dalam kelas melambangkan bagaimana seorang pendidik mengawal kelasnya. Kelas yang diam dengan kanak-kanaknya hanya duduk bermuka bosan perlu dikenal pasti. Jika ini berlaku pendidik untuk kelas tersebut secara tidak langsung menghasilkan persekitaran yang tegang dan dengan itu tidak kondusif untuk belajar. Kanak-kanak pada umur prasekolah perlu boleh bergerak dan berinteraktif tetapi dalam suasana yang terkawal. Jika kanak-kanak tersebut sentiasa bermain, bekerja dengan rakan-rakan dan bahan pengajarannya ini menunjukkan pendidik tersebut berjaya menghasilkan suasana yang interaktif dan mudah berkomunikasi.

Ciri 6: Pengorbanan masa bermain
Pengorbanan masa bermain demi untuk menghabiskan objektif pengajaran akan hanya menghasilkan kanak-kanak yang hanya berupaya memuntahkan maklumat. Kreativiti kanak-kanak akan terencat. Penggunaan kerja rumah sebagai satu teknik untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak pada peringkat ini hanya mencerminkan keupayaan terhad prasekolah untuk mencari teknik pengukuhan alternatif yang lebih baik. Walaupun teknik ini sesuai untuk 5 tahun lepas, penyusunan semula kurikulum pengajian tinggi dan rendah menyebabkan komponen kreativiti lebih diutamakan. Malah pada masa kini pemilihan pekerja lebih mementingkan kreativiti kerana ilmu yang dibawa oleh pemohon hampir sama sahaja.

Ciri 7: Semua sama
Pendidik merupakan manusia biasa yang kerap melakukan kesalahan. Kadangkala pendidik lebih cenderung untuk memberi bantuan kepada seorang kanak-kanak berbanding kanak-kanak yang lain. Walaupun ini terjadi secara tidak sengaja, mekanisma check and balance perlu wujud dalam bentuk pendidik tambahan pada setiap kelas. Ini membolehkan semua kanak-kanak diperlakukan secara saksama dari semua segi. Ia secara tidak langsung menghasilkan persepsi bahawa setiap pelajar dihormati dan setiap pendapat mereka dihargai. Kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan yang sama tidak mengira rupa, jantina ataupun kedudukan.

Ciri 8: Minat ke kelas
Indikasi paling mudah bagi menentukan jika sesebuah kelas sesuai dengan seseorang kanak-kanak adalah kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk kembali ke kelas untuk keesokan harinya. Jika terdapat tindakan teragak-agak oleh kanak-kanak ia mungkin menunjukkan kehadiran konflik di kelas yang tidak berjaya ditangani oleh pendidik.

Sabtu, 25 Ogos 2018


6 TIPS JADIKAN PEMBELAJARAN ANAK DARI RUMAH LEBIH MENARIK!
Berikut merupakan 6 tips yang boleh diaplikasikan oleh ibu bapa untuk merancang aktiviti bermain sambil belajar dengan anak-anak di rumah. Tak susah pun sebenarnya!
1. RANCANG TEMA MINGGUAN
Bagi memastikan pembelajaran anak dari rumah lebih teratur dan menarik, buat perancangan tentang tema yang ingin diajar kepada anak mengikut minggu dan tetapkan matlamat yang ingin dicapai di penghujung minggu tersebut. Dengan satu tema sahaja, akan muncul seribu satu idea aktiviti yang boleh dimainkan oleh anak sama ada di dalam dan luar rumah.
Sebagai contoh, Minggu 1 – tema buah-buahan, Minggu 2 – tema haiwan peliharaan, Minggu 3 – tema sayur-sayuran, dan begitulah seterusnya setiap minggu. Jika minggu itu bertemakan buah-buahan, antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah membacakan buku cerita berkaitan buah-buahan, susun suai gambar buah-buahan, pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan, melukis serta mewarna gambar buah-buahan dan banyak lagi aktiviti yang menyeronokkan.
Tema mingguan adalah sangat baik untuk dirancang kerana ibu bapa dapat memfokuskan kepada sesuatu topik sahaja dalam satu-satu masa yang mana ianya dapat memudahkan anak untuk mengingati dan memahami perkara yang dipelajarinya mengikut tema yang telah ditetapkan setiap minggu. Rekodkan kesemuanya ke dalam buku catatan dan anda akan dapat lihat bahawa telah banyak perkara yang telah dipelajarinya minggu demi minggu!


Hasil carian imej untuk buku latihan kanak-kanak tadika
2. SEDIAKAN BAHAN SEBELUM MULA BERMAIN
Sekiranya ibu bapa memilih untuk melakukan aktiviti sendiri di rumah tanpa menggunakan permainan yang biasa dimainkan oleh anak, persediaan perlu dilakukan sebelum bermain. Persediaan yang dilakukan sehari sebelum aktiviti dilakukan adalah lebih baik kerana anak tidak perlu menunggu lagi untuk mula bermain terutamanya apabila mereka memulakan hari baru kerana semuanya telah tersedia.
Anak pasti tidak sabar untuk bermain apabila melihat bahan permainan telah siap disediakan oleh ibu bapanya di atas meja! Sesetengah permainan tidak memerlukan persediaan yang rumit untuk bermain terutamanya permainan berkaitan ‘sensory play’.
Kita hanya perlu memberikan anak bahan-bahan asas yang ada di rumah seperti beras, spaghetti, tepung dan pelbagai lagi bahan lain untuk anak bermain mengikut kreativiti serta imaginasi mereka. Permainan sebegini dapat merangsang deria anak untuk mengenal dan membezakan sifat, rupa, bentuk dan warna bahan-bahan tersebut.


Hasil carian imej untuk buku latihan kanak-kanak tadika

3. DIY PERMAINAN UNTUK ANAK
Sesekali, ibu bapa boleh cuba untuk menjadi lebih kreatif dengan membuat sendiri permainan untuk anak atau lebih mengujakan lagi, kita lakukan aktiviti ini bersama-sama dengan anak!
Mungkin ada yang berfikir “Ala, aku tak kreatif la.. Lagipun, mana ada masa nak buat..”. Belum cuba, belum tahu! Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti bermain sambil belajar yang menarik dan hanya memerlukan langkah-langkah mudah bagi membuat sendiri permainan anak ini termasuklah membuat dadu gergasi, membina bangunan menggunakan kotak terpakai dan banyak lagi.
Percayalah, pasti anda akan mencapai kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila anak seronok bermain dengan permainan buatan sendiri itu!


Hasil carian imej untuk permainan DIY


4. TENTUKAN AKTIVITI MENGIKUT KEMAHIRAN YANG INGIN DITERAPKAN
Ketika bermain, secara tidak langsung, anak akan mempelajari dan memperbaiki pelbagai kemahiran dalam diri mereka. Antaranya adalah kemahiran motor kasar (gross motor skill) iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang besar seperti tangan dan kaki, kemahiran motor halus (fine motor skill) iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang kecil seperti jari tangan, kemahiran memfokus, koordinasi mata dan tangan (hand-eye coordination), koordinasi kedua-dua belah anggota badan (bilateral coordination) dan banyak lagi.
Kemahiran-kemahiran ini adalah sangat penting untuk dilatih di awal usia agar anak dapat melakukan pelbagai tugasan seharian dengan baik apabila usia mereka meningkat kelak. Sebagai contoh, untuk melatih kemahiran memfokus, anak anda boleh bermain memasukkan duit syiling ke dalam tabung, memasukkan bola ke dalam lubang pada kotak, menuang air ke dalam bekas dan juga memasukkan spaghetti ke dalam lubang pada bakul.
Tetapkan kemahiran yang ingin diterapkan kepada anak dan lakukan aktiviti yang menyeronokkan bersesuaian dengan kemahiran tersebut. Apabila melihat anak semakin bijak dalam melakukan aktiviti tersebut dari semasa ke semasa, kita sebagai ibu bapa pasti akan berasa gembira kerana usaha kita selama ini sangat berbaloi dan telah membuahkan hasil!
Hasil carian imej untuk permainan DIY

5. KENALPASTI MINAT DAN BERI GALAKAN
Setiap anak mempunyai minat yang berbeza. Ada anak yang minat bermain dengan air, pasir dan tanah liat. Ada anak yang minat melukis, mewarna dan bermain alat muzik. Ada juga anak yang meminati permainan kenderaan, membina bangunan dan membuat robot.
Sepanjang proses bermain, ibu bapa akan dapat mengenalpasti minat anak masing-masing. Kesemua permainan dan minat anak ini seharusnya diberi galakan agar anak sentiasa berasa seronok ketika bermain dan dapat mempelajari sesuatu daripada minatnya itu. Sekiranya anak meminati permainan berkaitan air, beri galakan dengan memperbanyakkan water play untuk anak. Jika anak gemar melukis dan mewarna, ajarkan mereka teknik-teknik melukis dan mewarna dengan cantik.
Seandainya anak sangat berminat dengan kenderaan, perkenalkan kepada mereka nama-nama kenderaan dan cipta kenderaan menggunakan bahan-bahan terpakai. Sekiranya terdapat pihak menganjurkan sebarang pertandingan yang seiring dengan minat anak, usah lepaskan peluang tersebut!
Galakkan anak untuk menyertai pertandingan itu agar mereka dapat mengekspresikan minat dengan lebih berani di khalayak ramai. Dengan cara ini, anak pasti akan lebih bersemangat untuk meningkatkan potensi diri mereka dalam bidang yang diminatinya.
Hasil carian imej untuk permainan DIY

6. LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK
Bagi mewujudkan rasa seronok dalam diri anak untuk bermain di rumah, tidak semestinya kita membelikan semua permainan yang ada di pasaran bagi memenuhi kehendak anak itu. Masa yang dapat diluangkan oleh ibu bapa terhadap anak adalah lebih penting dan cukup bermakna untuk membuatkan mereka berasa gembira.
Dalam kesibukan kita melaksanakan tugasan seharian, usah dilupa mencuri sedikit masa untuk melibatkan diri kita bersama anak untuk merancang aktiviti bermain sambil belajar. Interaksi antara ibu bapa dan anak yang terjalin bukan sahaja dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-duanya, malah dapat mendorong komunikasi dua hala yang baik bagi membantu anak untuk bertutur.
Anak juga akan lebih menghargai ibu bapa kerana kesudian kita untuk bermain bersama mereka walaupun tugasan seharian sedia menunggu untuk dilangsaikan. Rakamkan gambar dan momen bersama-sama mereka dalam aktiviti yang dilakukan. Ianya pasti akan menjadi suatu memori yang cukup indah untuk diabadikan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan buat ibu bapa dan anak.
Hasil carian imej untuk permainan DIY

SERONOKNYA BERMAIN DI RUMAH!
Jom cipta suasana yang terbaik di rumah sebagai tempat yang seronok untuk mempelbagaikan aktiviti bermain sambil belajar! Zaman kanak-kanak mereka hanya dilalui sekali sahaja seumur hidup.
Jadi, berikan anak anda masa untuk menikmati zaman ini dengan riang ria. Kelak, apabila anak menginjak ke alam remaja dan dewasa, bukan sahaja mereka, tetapi kita sebagai ibu bapa pasti akan turut merindui zaman bergembira bersama mereka sewaktu mereka kecil.

Sabtu, 18 Ogos 2018


STRATEGI, KAEDAH DAN TEKNIK KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS (AUTISME)

Seperti kanak-kanak yang normal, kanak-kanak berkeperluan khas juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna selaras dengan kanak-kanak normal. Menurut Barber dan Holdbart (1998), srtategi penilaian yang berbeza yang diperlukan dalam mengajar kanak-kanak berkeperluan khas bagi menentukan tahap keberkesanan pengajaran. Sebagai seorang pendidikan yang peka terhadap anak-anak muridnya, guru seharusnya meneliti pendekatan pengajaran yang sesuai bagi merancang pengajaran.

Antara stategi ataupun kaedah bagi membantu kanak-kanak berkeperluan khas ialah :


Pelaksanaan pengajaran menggunakan auditoria tau visual.

Gaya pengajaran auditori ini merupakan cara pengajaran yang menekankan pendekatan perkataan dan arahan lisan. Murid perlu mengingati penerangan melalui becaan yang kuat atau menggerakkan bibir ketika mempelajari sesuatu. Di samping itu, melalui pengajaran gaya auditori ini, murid akan mengukuhkan ingatan mereka dengan mendengar semula rakaman pita audio. Selain daripada kaedah auditori, kaedah visual yang menggunakan foto-foto, gambar rajah,lambing atau isyarat dapat membantu kanak-kanak ini meluahkan perasaan mereka. Dengan mengenal pasti perasaan mereka, emosi dan perasaan mereka tidak akan mempengaruhi tingkah laku mereka untuk cenderung ke arah negatif seperti memukul dan mencederakan orang lain.


KAEDAH PEMUDACARAAN

Kaedah ini lebih menitikberatkan perasaan murid dalm pembelajaran di mana guru hanyalah berperanan sebagai fasilitator yang berfungsi untuk mendidik, membimbing, memujuk, mengukuh, memberikan bantuan dan menolong kanak-kanak mencapai matlamat pembelajaran yang telah dirancang. Dengan adanya kaedah pemudahcaraan ini juga, guru-guru dapat menggalakkan murid agar aktif dalam setiap proses pembelajaran dengan memberi arahan dan juga panduan yang jelas. Oleh sebab itu, guru-guru boleh memberikan aktiviti yang lebih mencabar kepada kanak-kanak tetapi guru-guru bertindak sebagai pemudahcara sehingga kanak-kanak tersebut dapat melaksanakan aktiviti tersebut dengan sendirinya.



KAEDAH TUNJUK AJAR

Tunjuk ajar ialah cara untuk melatih kanak-kanak memerhati dan melakukan sesuatu aktiviti mengikut prosedur. Ia melibatkan demonstrasi guru atau seseorang individu di hadapan kelas untuk menunjukkan sesuatu aktiviti atau prosedur. Di samping itu, kaedah ini juga dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk menjalankan sesuatu aktiviti.


KAEDAH PENEGUHAN POSITIF

Pemberian peneguhan boleh terbahagi kepada dua iaitu peneguhan possitif dan juga peneguhan negatif. Pemberian peneguhan ini bergantung kepada tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut. peneguhan positif biasanya diberikan untuk memberi pengukuhan terhadap tingkah laku yang baik dan positif agar kanak-kanak tersebut akan terus melakukan tindakan tersebut. manakala peneguhan negatif pula diberikan untuk menyingkirkan atau menghilangkan tingkah laku yang tidak sesuai ataupun tidak baik. Peneguhan negatif adalah seperti pengasingan, time-out, shaping dan sebagainya. Pemberian positif pula akan membuatkan kanak-kanak berasa seronok menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara peneguhan positif yang membolehkan digunakan adalah seperti pujian, tepukan, ganjaran, token dan sebagainya.


Main sambil belajar

Teknik ini merupakan aktiviti yang dijalankan secara spontan dan menyeronokan serta membawa kepada pembelajaran. Main adalah ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan mencari pengetahuan dengan kaedah permainan. Dengan kaedah ini juga, ia mampu menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Selain menjadikan pengajaran dan pembelajaran menjadi sesuatu aktiviti yang seronok. Ia juga mampu merangsang motivasi belajar kesan daripada keseronokan bermain. Antara jenis permainan dalam pengajaran ialah permainan manipulative, fizikal dan permainan bahasa.


Kaedah simulasi

Kaedah ini merupakan gambaran abstrak sesuatu situasi sebenar yang memerlukan murid berinteraksi sesame sendiri berdasarkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kaedah ini juga merupakan satu situasi yang diwujudkan untuk menyerupai keadaan sebenar dengan cara menggunakan masalah-masalah atau menyediakan situasi-situasi yang benar-benar wujud di dalam keadan yang terkawal.


Strategi pengajaran mediatif

Strategi pengajaran mediatif ini boleh digunakan dengan berbantukan komputer semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan simbol-simbol grafik yang menarik dapat membnatu kanak-kanak ini juga boleh menggunakan rakaman suara dan mengulangi rakaman yang telah didengari.


Kaedah koperatif

Kaedah ini menenkan pelaksanaan aktiviti berkumpulan. Dengan kaedah ini guru-guru dapat memberikan peluang dan laluan serta galakan kepada kanak-kanak berkeperluan khas berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran bertutur di samping menambahkan perbendaharaan kata.


Gabungjalin pelajaran dengan muzik

Kaedah ini dikatakan mampu membantu kanak-kanak berkeperluan khas supaya lebih berkeyakinan dan mampu berinteraksi dengan menggabungkan pengajaran dengan muzik, nyanyian dan tarian. Misalnya kanak-kanak autisme mempunyai bakat mereka yang tersendiri. Dengan kaedah ini, murid-murid akan berasa seronok menjalani sesi pengajaran.


Kaedah muti sensori

Kaedah ini digunakan untuk merangsangan mindakanak-kanak berkeperluan khas melalui lima deria iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan rasa. Kaedah ini membantu merangsan pemikiran kanak-kanak tersebut. Apabila mereka memegang merasa,menghidu, mendengar dan melihat ini akan memberi tindak balas bagi semua deria ini.

Sabtu, 11 Ogos 2018


Apa punca autisme? Seorang pakar menemui jawapannya
Walaupun pelbagai kajian telah dijalankan, namun punca autisme yang paling utama masih menyebabkan pengkaji “garu kepala”. 
Soalan yang kerapkali ditimbulkan semula adalah “apakah punca autisme yang sebenar?”



Hasil carian imej untuk gambar kanak-kanak autisme


Pakar menolak kaitan antara gangguan autisme dengan pemberian vaksin. Tapi ada juga kajian yang mengaitkan tentang paras diabetes si ibu mampu meningkatkan risiko anak autisme.

Malah, faktor kehamilan dan kelahiran lain seperti demam dan menjalani imbasan ultra pada trimester pertama juga dikatakan sebagai punca autisme. 
Namun, seorang doktor pakar telah menemui sesuatu yang sungguh mengejutkan!
 Dr. Harvey Karp, seorang doktor dan penasihat kesihatan kanak-kanak telah membina teori yang beliau percaya mampu membongkarkan rahsia punca autisme.

Menurut beliau di acara Healthy Child Healthy World and Environment, pendedahan ibu hamil kepada sesetengah kimia, seperti kimia endoktrin (EDCs) sebenarnya amat berbahaya.


Botol plastik punca autisme?


Kimia endoktrin (EDCs) banyak terkandung dalam produk atau barangan rumah. Adakah benar EDC ini penyebab autisme? 
Botol air plastik, makanan dalam tin dan botol susu bayi antara barangan yang mengandungi BPA dan phthalates. BPA dan phthalates adalah salah satu contoh EDC.


Hasil carian imej untuk gambar botol susu bayi


Menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), EDC boleh mengubah dan menjejaskan fungsi reproduktif manusia. Malah, ia juga boleh meningkatkan risiko kanser payudara, menjejaskan pertumbuhan dan sistem imun badan kanak-kanak.
“Setiap individu terdedah kepada bahaya BPA kerana ia selalu berdekatan dengan kita. Contohnya seperti phthalates terkandung dalam barangan plastik dan kereta baru,” jelas Dr. Karp.



Bagaimana EDC boleh menyebabkan autisme?

Hormon boleh mengawal isyarat otak. Namun, EDC boleh memasuki minda bayi yang kecil, atau bayi dalam kandungan dan mengubah perkembangan otak mereka.
Hormon dalam badan lelaki dan wanita berbeza. Kalau anda nak tahu, gangguan autisme lebih banyak menyerang kanak-kanak lelaki berbanding wanita
Walaubagaimanapun, Dr. Karp mendedahkan, beliau masih tidak berputus asa. Beliau akan terus mengkaji tentang hal ini sehingga bertemu jawapannya.


Bagaimana ibu bapa boleh mengelak BPA dalam plastik botol?

Anda bukan saja perlu risau tentang BPA. BPS – salah satu alternatif lain untuk BPA juga sama-sama berbahaya!
Kadang-kadang, ada sesetengah produk yang menulis ia “bebas BPA”. Tapi, ia mungkin masih boleh mengandungi BPS!

Apa ibu bapa patut buat:
  • Jangan beli buah-buahan atau sayur-sayuran dalam tin. Tin mengandungi BPA atau BPS. Beli buah atau sayur segar
  • Beli produk berasaskan silikon – ia bebas BPA dan BPS
  • Elak produk plastik yang ada label #7 kerana ia mungkin bebas BPA, tapi masih mengandungi BPS.


SEKIAN TERIMA KASIH

Sabtu, 4 Ogos 2018


PERANAN IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK.

   Konsep kekeluargaan merupakan satu intitusi kecil dalam masyarakat yang terdiri daripada ibu bapa dan anak. Menurut kamus dewan keluarga ialah saudara dan kaum kerabat. Dalam pembentukan kekeluargaan ibu bapa merupakan salah satu yang perlu memainkan peranan  penting dalam membentuk dan mendidik anak-anak untuk menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan. Pada zaman sekarang, kita sering mendengar masalah-masalah yang berkaitan dengan anak yang terlibat dalam gejala-gejala sosial seperti vendalisme,gengsterisme dan sebagainya,mengapa hal ini boleh terjadi dikalangan remaja sekarang?. Sebagai individu yang bertangunggjawab mereka perlu mengambil berat  dalam mendidik anak-anak mereka kerana mereka merupakan insan yang akan memimpin negara dan akan menjadi saham untuk ibu bapa diakhirat kelak sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis daripada al-Bukhari yang berbunyi” apabila meninggal dunia seorang anak adam maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoa kedua ibu bapanya”. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak-anak antaranya ibu bapa perlu lebih meluangkan masa bersama anak-anak. Kita sering melihat kebanyakkan ibu bapa lebih menghabiskan masa mereka dalam kesibukan berkerja sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak menyebabkan mereka merasa terpinggir sehingga mereka mengambil tindakan di luar jangkaan. Hal ini perlu diambil perhatian dikalangan ibu bapa bagi mengelak anak-anak terjerumus ke jalan yang boleh merosakan mereka.


   Selain itu,memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak amat penting dalam membentuk dan mendidik mereka untuk menjadi  insan yang soleh dan solehah, ibu bapa merupakan contoh yang paling utama dalam hal akhlak dan penghayatan nilai islam.sekiranya ibu bapa itu menghayati ajaran dan amalan islam di rumah, maka ini akan menarik anak-anak untuk mengikutinya dan begitu lah sebaliknya, sebagaimana sabda rasulullah s.a.w : “Hendaklah kamu pastikan anak-anak mu belajar agama dan hendaklah kau baguskan akhlaknya”. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka sejak kecil lagi dalam memberi didikan agama dengan akhlak yang baik supaya mereka menjadi seorang yang berguna kepada agama,negara dan masyarakat. Setiap didikan dan pembentukan sahsiah seorang anak bermula daripada ibu bapa,sekiranya didikan itu dari didikan dengan cara yang baik,maka elok lah segala tingkah laku mereka seperti mana sabda rasulullah s.a.w : “semua anak yang dilahirkan  ke dunia ini dalam keadaan suci bersih. Maka, kesalahan ibu bapalah yang menjadikan mereka Yahudi, nasrani,dan majusi”.


    Oleh demikian, ibu bapa perlulah berperanan dalam mendidik anak-anak mereka semasa mereka kecil lagi dan mendisiplikan diri mereka daripada segala perkara yang dilakukannya bagi melahirkan seorang yang bertanggungjawab dan berdedikasi. Dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu mendidik dengan cara yang dituntut oleh islam sebagaimana contoh teladan didikan luqman al-hakim dalam mendidik anaknya yang mengutamakan pendidikan aqidah, di mana itulah penyelamat anak-anaknya ketika  sesuatu yang tidak dapat menolongnya selain pertolongan Allah kerana Allah sangat sayang kepada hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Jangalah kita mendidik mereka dengan memberi kesan kepada jiwa mereka,ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan cara yang baik kerana dalam mendidik atau mengajar seseorang perlu lah dengan cara tersebut,kerana  akan membuat anak-anak merasa aman dan merasa bahawa ibu bapa mengambil berat tentangnya.Seorang anak dia tidak akan melibatkan diri mereka dalam gejala-gejala yang boleh merosakkan mereka melainkan ibu bapa itu bijak dalam memainkan peranan mendidik anak-anak.


   Selanjutnya, memperhatikan tingkah laku anak-anak juga merupakan peranan penting dalam mendidik anak-anak. Segala tingkah laku anak-anak ibu bapa perlulah mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan,dimana mereka pergi,apa yang mereka buat ketika tiada bersama mereka dan sebagainya, kerana peranan ini dapat mengelakkan anak-anak dari terjebat dalam perkara yang membawa kerosakan akhlak dan moral mereka.

   Kesimpulannya, untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak,begitu juga di dalam suasana kekeluarga juga boleh mempengaruhi pewatakan anak-anak.keluarga yang mesra dan harmoni akan melahirkan personaliti yang positif,ceria dan sihat.manakala keluarga yang kuncar-kancir, kerapa bergaduh dan berpecah belah menyebabkan suasana menjadi dingin dan kaku. Jika keadaan begini wujud dalam keluarga,ia mempengaruhi perkembangan jiwa anak-anak.

Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa Bermain adalah penting untuk kanak-kanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan kep...