CIRI-CIRI
TADIKA YANG BERKUALITI
Tadika yang baik merupakan
gabungan kehadiran infrastuktur, input pendidik dan usaha kanak-kanaknya.
Tadika yang baik seharusnya menyediakan unsur-unsur yang menyokong perkembangan
kanak-kanak dari semua segi. Ibu bapa yang mementingkan perkembangan anaknya
yang menyeluruh perlu membuat pilihan berdasarkan ciri-ciri berikut:
Ciri 1: Refleksi persekitaran
Sewaktu
menjalankan pengajaran, pengajar perlu menghubungkaitkan ilmu tersebut dengan
persekitarannya. Contohnya pendidikan berkenaan mengira satu hingga sembilan
perlu diikuti dengan permainan yang berkaitan nombor – hopscotch. Peringkat ini
dikenali sebagai fasa pengukuhan (reinforcement). Lebih lama fasa pengukuhan
digunakan lebih lama pengekalan ilmu atau modifikasi tingkah laku terjadi.
Ciri 2: Hiasan usaha kanak-kanak
Kelas yang
suasana menarik dan kondusif belajar perlu dipenuhi dengan gantungan pelbagai
hasil aktiviti kanak-kanaknya dan bukan hasilan pendidik atau orang asing.
Ejaan yang salah tidak menggambarkan kelemahan kanak-kanak tersebut tetapi
melambangkan kebanggaan pendidik dan kawan-kawannya terhadap usaha seseorang
kanak-kanak untuk maju.
Ciri 3: Variasi teknik pengajaran
Pendidik yang
baik akan mempelbagaikan teknik pengajarannya sepanjang masa. Pendidikan
berbentuk formal dan tidak formal digunakan bagi mempertingkatkan kebolehan
penyerapan komponen fizikal, intelektual, spiritual dan emosi seseorang
kanak-kanak. Sewaktu pengajaran formal, penggunaan pengajaran berkumpulan,
kumpulan kecil dan individu perlu digunakan bagi memastikan perkembangan setiap
pelajar dilakukan berdasarkan kebolehan dan keperluan setiap kanak-kanak
tersebut.
Ciri 4: Penggunaan cerita sewaktu rehat
Apabila penat
melakukan pengajaran, pendidik sepatutnya menjalankan sesi bercerita
interaktif. Sesi ini akan mempertingkatkan spiritual dan emosi pelajar. Oleh
kerana ia dilakukan secara interaktif, jalan cerita dikembangkan berdasarkan
kreativiti kumpulan kanak-kanak tersebut. Bagi memastikan sesi ini kurang
membebankan, ia dilakukan secara berbaring atau duduk di bawah pokok. Asasnya
ia sepatutnya dilakukan di mana sahaja yang dirasai menarik dan boleh
mengurangkan tekanan belajar pada kanak-kanak. Perlu ditekankan sesi ini
selalunya tidak berjadual dan dilakukan apabila sebilangan pelajar didapati
penat.
Ciri 5: Interaksi kanak-kanak di dalam kelas
Interaksi
kanak-kanak di dalam kelas melambangkan bagaimana seorang pendidik mengawal
kelasnya. Kelas yang diam dengan kanak-kanaknya hanya duduk bermuka bosan perlu
dikenal pasti. Jika ini berlaku pendidik untuk kelas tersebut secara tidak
langsung menghasilkan persekitaran yang tegang dan dengan itu tidak kondusif
untuk belajar. Kanak-kanak pada umur prasekolah perlu boleh bergerak dan
berinteraktif tetapi dalam suasana yang terkawal. Jika kanak-kanak tersebut
sentiasa bermain, bekerja dengan rakan-rakan dan bahan pengajarannya ini
menunjukkan pendidik tersebut berjaya menghasilkan suasana yang interaktif dan
mudah berkomunikasi.
Ciri 6: Pengorbanan masa bermain
Pengorbanan
masa bermain demi untuk menghabiskan objektif pengajaran akan hanya
menghasilkan kanak-kanak yang hanya berupaya memuntahkan maklumat. Kreativiti
kanak-kanak akan terencat. Penggunaan kerja rumah sebagai satu teknik untuk
meningkatkan kefahaman kanak-kanak pada peringkat ini hanya mencerminkan
keupayaan terhad prasekolah untuk mencari teknik pengukuhan alternatif yang
lebih baik. Walaupun teknik ini sesuai untuk 5 tahun lepas, penyusunan semula
kurikulum pengajian tinggi dan rendah menyebabkan komponen kreativiti lebih
diutamakan. Malah pada masa kini pemilihan pekerja lebih mementingkan
kreativiti kerana ilmu yang dibawa oleh pemohon hampir sama sahaja.
Ciri 7: Semua sama
Pendidik
merupakan manusia biasa yang kerap melakukan kesalahan. Kadangkala pendidik
lebih cenderung untuk memberi bantuan kepada seorang kanak-kanak berbanding
kanak-kanak yang lain. Walaupun ini terjadi secara tidak sengaja, mekanisma
check and balance perlu wujud dalam bentuk pendidik tambahan pada setiap kelas.
Ini membolehkan semua kanak-kanak diperlakukan secara saksama dari semua segi.
Ia secara tidak langsung menghasilkan persepsi bahawa setiap pelajar dihormati
dan setiap pendapat mereka dihargai. Kesalahan yang dilakukan akan dikenakan
tindakan yang sama tidak mengira rupa, jantina ataupun kedudukan.
Ciri 8: Minat ke kelas
Indikasi paling mudah bagi menentukan jika sesebuah kelas sesuai
dengan seseorang kanak-kanak adalah kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk
kembali ke kelas untuk keesokan harinya. Jika terdapat tindakan teragak-agak
oleh kanak-kanak ia mungkin menunjukkan kehadiran konflik di kelas yang tidak
berjaya ditangani oleh pendidik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan