6 TIPS JADIKAN PEMBELAJARAN ANAK DARI RUMAH
LEBIH MENARIK!
Berikut merupakan 6 tips yang boleh
diaplikasikan oleh ibu bapa untuk merancang aktiviti bermain sambil belajar
dengan anak-anak di rumah. Tak susah pun sebenarnya!
1. RANCANG TEMA MINGGUAN
Bagi memastikan pembelajaran
anak dari rumah lebih teratur dan menarik, buat perancangan tentang tema yang
ingin diajar kepada anak mengikut minggu dan tetapkan matlamat yang ingin
dicapai di penghujung minggu tersebut. Dengan satu tema sahaja, akan muncul seribu
satu idea aktiviti yang boleh
dimainkan oleh anak sama ada di dalam dan luar rumah.
Sebagai contoh, Minggu 1 – tema
buah-buahan, Minggu 2 – tema haiwan peliharaan, Minggu 3 – tema sayur-sayuran,
dan begitulah seterusnya setiap minggu. Jika minggu itu bertemakan buah-buahan,
antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah membacakan buku cerita berkaitan
buah-buahan, susun suai gambar buah-buahan, pergi ke pasar untuk membeli buah-buahan,
melukis serta mewarna gambar buah-buahan dan banyak lagi aktiviti yang
menyeronokkan.
Tema mingguan adalah sangat baik
untuk dirancang kerana ibu bapa dapat memfokuskan kepada sesuatu topik sahaja
dalam satu-satu masa yang mana ianya dapat memudahkan anak untuk mengingati dan
memahami perkara yang dipelajarinya mengikut tema yang telah ditetapkan setiap
minggu. Rekodkan kesemuanya ke dalam buku catatan dan anda akan dapat lihat
bahawa telah banyak perkara yang telah dipelajarinya minggu demi minggu!
2. SEDIAKAN BAHAN SEBELUM MULA BERMAIN
Sekiranya ibu bapa memilih untuk
melakukan aktiviti sendiri di rumah tanpa menggunakan permainan yang biasa
dimainkan oleh anak, persediaan perlu dilakukan sebelum bermain. Persediaan
yang dilakukan sehari sebelum aktiviti dilakukan adalah lebih baik kerana anak
tidak perlu menunggu lagi untuk mula bermain terutamanya apabila mereka
memulakan hari baru kerana semuanya telah tersedia.
Anak pasti tidak sabar untuk
bermain apabila melihat bahan permainan telah siap disediakan oleh ibu bapanya
di atas meja! Sesetengah permainan tidak memerlukan persediaan yang rumit untuk
bermain terutamanya permainan berkaitan ‘sensory play’.
Kita hanya perlu memberikan anak
bahan-bahan asas yang ada di rumah seperti beras, spaghetti, tepung dan
pelbagai lagi bahan lain untuk anak bermain mengikut kreativiti serta imaginasi
mereka. Permainan sebegini dapat merangsang deria anak untuk mengenal dan membezakan
sifat, rupa, bentuk dan warna bahan-bahan tersebut.
3. DIY PERMAINAN UNTUK ANAK
Sesekali, ibu bapa boleh cuba untuk
menjadi lebih kreatif dengan membuat sendiri
permainan untuk anak atau lebih mengujakan lagi, kita lakukan aktiviti ini
bersama-sama dengan anak!
Mungkin ada yang berfikir “Ala, aku tak kreatif la.. Lagipun,
mana ada masa nak buat..”. Belum cuba, belum tahu!
Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti bermain sambil belajar yang menarik dan
hanya memerlukan langkah-langkah mudah bagi membuat sendiri permainan anak ini
termasuklah membuat dadu gergasi, membina bangunan menggunakan kotak terpakai
dan banyak lagi.
Percayalah, pasti anda akan mencapai
kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila anak seronok bermain dengan
permainan buatan sendiri itu!

4. TENTUKAN AKTIVITI MENGIKUT KEMAHIRAN YANG INGIN
DITERAPKAN
Ketika bermain, secara tidak
langsung, anak akan mempelajari dan memperbaiki pelbagai kemahiran dalam diri
mereka. Antaranya adalah kemahiran motor kasar (gross motor skill)
iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang besar seperti tangan dan
kaki, kemahiran motor halus (fine motor skill)
iaitu kemahiran yang melibatkan anggota badan yang kecil seperti jari tangan,
kemahiran memfokus, koordinasi mata dan tangan (hand-eye coordination),
koordinasi kedua-dua belah anggota badan (bilateral coordination)
dan banyak lagi.
Kemahiran-kemahiran ini adalah
sangat penting untuk dilatih di awal usia agar anak dapat melakukan pelbagai
tugasan seharian dengan baik apabila usia mereka meningkat kelak. Sebagai
contoh, untuk melatih kemahiran memfokus, anak anda
boleh bermain memasukkan duit syiling ke dalam tabung, memasukkan bola ke dalam
lubang pada kotak, menuang air ke dalam bekas dan juga memasukkan spaghetti ke
dalam lubang pada bakul.
Tetapkan kemahiran yang ingin
diterapkan kepada anak dan lakukan aktiviti yang menyeronokkan bersesuaian
dengan kemahiran tersebut. Apabila melihat anak semakin bijak dalam melakukan
aktiviti tersebut dari semasa ke semasa, kita sebagai ibu bapa pasti akan
berasa gembira kerana usaha kita selama ini sangat berbaloi dan telah
membuahkan hasil!

5. KENALPASTI MINAT DAN BERI GALAKAN
Setiap anak mempunyai minat
yang berbeza. Ada anak yang minat bermain dengan air, pasir dan tanah liat. Ada anak yang minat melukis, mewarna
dan bermain alat muzik. Ada juga anak yang meminati permainan kenderaan,
membina bangunan dan membuat robot.
Sepanjang proses bermain, ibu
bapa akan dapat mengenalpasti minat anak masing-masing. Kesemua permainan dan
minat anak ini seharusnya diberi galakan agar anak sentiasa berasa seronok
ketika bermain dan dapat mempelajari sesuatu daripada minatnya itu. Sekiranya
anak meminati permainan berkaitan air, beri galakan dengan memperbanyakkan ‘water play’ untuk anak. Jika anak gemar melukis
dan mewarna, ajarkan mereka teknik-teknik melukis dan mewarna dengan cantik.
Seandainya anak sangat berminat
dengan kenderaan, perkenalkan kepada mereka nama-nama kenderaan dan cipta
kenderaan menggunakan bahan-bahan terpakai. Sekiranya terdapat pihak
menganjurkan sebarang pertandingan yang seiring dengan minat anak, usah
lepaskan peluang tersebut!
Galakkan anak untuk menyertai
pertandingan itu agar mereka dapat mengekspresikan minat dengan lebih berani di
khalayak ramai. Dengan cara ini, anak pasti akan lebih bersemangat untuk
meningkatkan potensi diri mereka dalam bidang yang diminatinya.
6. LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK
Bagi mewujudkan rasa seronok dalam
diri anak untuk bermain di rumah, tidak semestinya kita membelikan semua
permainan yang ada di pasaran bagi memenuhi kehendak anak itu. Masa yang dapat
diluangkan oleh ibu bapa terhadap anak adalah lebih penting dan cukup bermakna
untuk membuatkan mereka berasa gembira.
Dalam kesibukan kita
melaksanakan tugasan seharian, usah dilupa mencuri sedikit masa untuk
melibatkan diri kita bersama anak untuk merancang aktiviti bermain sambil
belajar. Interaksi antara ibu bapa dan anak yang terjalin bukan sahaja dapat
merapatkan lagi hubungan antara kedua-duanya, malah dapat mendorong komunikasi
dua hala yang baik bagi membantu anak untuk bertutur.
Anak juga akan lebih menghargai ibu
bapa kerana kesudian kita untuk bermain bersama mereka walaupun tugasan
seharian sedia menunggu untuk dilangsaikan. Rakamkan gambar dan momen
bersama-sama mereka dalam aktiviti yang dilakukan. Ianya pasti akan menjadi
suatu memori yang cukup indah untuk diabadikan dan kenangan yang tidak dapat
dilupakan buat ibu bapa dan anak.

SERONOKNYA BERMAIN DI RUMAH!
Jom cipta suasana yang terbaik di
rumah sebagai tempat yang seronok untuk mempelbagaikan aktiviti bermain sambil belajar! Zaman
kanak-kanak mereka hanya dilalui sekali sahaja seumur hidup.
Jadi, berikan anak anda masa
untuk menikmati zaman ini dengan riang ria. Kelak, apabila anak menginjak ke
alam remaja dan dewasa, bukan sahaja mereka, tetapi kita sebagai ibu bapa pasti
akan turut merindui zaman
bergembira bersama mereka sewaktu mereka kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan