Sabtu, 15 September 2018


Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa

Imej yang berkaitan


Bermain adalah penting untuk kanak-kanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, iaitu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka.
Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanak-kanak serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Terapi ini juga digunakan dalam program intervensi yang berkesan seperti intervensi awal, terapi pertuturan, terapi pengurusan ibu bapa, intervensi keluarga kepada kanak-kanak yang mengalami rangkaian gangguan tingkah laku dan fizikal yang meluas seperti gangguan bahasa, gangguan kelakuan, Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), autisme dan serebral palsi.
Pelbagai bahan mainan (seperti barang permainan, bahan seni) dan kaedah mainan digunakan dalam terapi bermain yang disediakan dan dipandu oleh ahli profesional terlatih. Di rumah, ibubapa digalakkan untuk menggunakan permainan sebagai medium membina perhubungan ibubapa-anak positif, dan menyokong anak dalam perkembangan penggunaan kosa kata dan kemahiran komunikasi, sosial dan penyelesaian masalah.

Mengapa Bermain?
ADHD – Kanak-kanak ADHD mempunyai daya tumpuan singkat, bersikap hiperaktif dan luar jangkaan. Gejala ini menyukarkan kanak-kanak memberi tumpuan dan menghabiskan sesuatu tugasan. Mereka sering mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian di dalam kelas dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sama usia.

Penglibatan dalam permainan dan aktiviti yang sesuai dapat membantu kanak-kanak ADHD mengembangkan penumpuan yang lebih baik, meningkatkan keyakinan diri dan belajar bersosial serta berinteraksi secara betul dengan kanak-kanak lain. Waktu bermain juga merupakan peluang untuk memumpuk perhubungan yang erat dan positif antara ibu bapa dengan anak; yang biasanya tegang disebabkan oleh simptom ADHD.

Autisme – Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran berinteraksi dengan kanak-kanak lain secara biasa. Mereka lebih gemar bermain sendiri, menjadi obses dengan objek dan berada dalam dunia sendiri. Mereka juga kurang berkemampuan membaca ekspresi emosi dan isyarat sosial, menyebabkan perkembangan komunikasi-sosial mereka terjejas.
Permainan yang menumpukan pada minat kanak-kanak serta menggalakkan interaksi boleh membantu memperbaiki kemahiran komunikasi dan antara peribadi mereka.

Serebral palsi – Ia adalah suatu keadaan semulajadi yang menjejaskan ton otot, pergerakan dan kemahiran motor, mengakibatkan kekakuan, kesukaran bergerak dan pergerakan tidak sengaja. Kanak-kanak serebral palsi akan mengalami suatu tahap ketidakbolehan fizikal tertentu. Mereka mengalami kesukaran melaksanakan tugasan mudah seperti berdiri tanpa bergerak atau memegang objek.
Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.


Jenis mainan dan alatan sesuai bagi kanak-kanak istimewa


ADHD
  • Aktiviti sukan dan fizikal untuk membakar tenaga berlebihan mereka.
  • Permainan mudah dengan sedikit peraturan dan masa bermain singkat, contohnya teka-teki mudah agar mereka boleh menghabiskannya dan tidak akan rasa kecewa.
  • Aktiviti seni menggunakan krayon, cat dan plastisin untuk membantu menumpukan perhatian dan mengekspresi diri.
  • Lakonan imaginasi, seperti bermain drama, barang permainan seperti anak patung dan boneka, bagi membolehkan penggunaan imaginasi dan meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi.
Autisme
  • Alat mainan untuk merangsang deria, seperti duduk-dan-pusing, trampolin, buaian dan lubang bola untuk membantu kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, dan merangsang penglihatan.
  • Alat permainan tekstur menarik, seperti bola lembut bercahaya dan berbunyi untuk meningkatkan kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, merangsangkan penglihatan dan pendengaran.
  • Alat permainan mudah seperti blok dan permainan papan untuk membantu belajar tentang mengambil giliran, berinteraksi dan kemahiran sosial.
Serebral palsi
  • Alat mainan mudah yang memerlukan kemahiran manipulatif, seperti pasak bertingkat berwarna-warni, blok binaan, cantuman kepingan gambar yang besar. Ini membantu melatih kanak-kanak untuk memegang dengan betuk dan erat.
  • Gantung alat permainan pada tempat tidur bayi untuk menggalakkan kanak-kanak berlatih mencapai barang permainan di hadapannya; ini membantu mengembang kemahiran koordinasinya.
  • Barang permainan yang merangsang deria, seperti barang permainan bertekstur, berbunyi, berwarna atau berbentuk, seperti blok kayu dan pasir. Ibu bapa perlu mendapat nasihat pakar fisioterapi atau pakar terapi kerja terdahulu untuk memastikan barang mainan deria adalah bersesuaian untuk gangguan serebral palsi.

Sabtu, 8 September 2018


Kepentingan Sukan Kepada Kanak-kanak


Hasil carian imej untuk gambar kanak-kanak tadika


Kanak-kanak sukakan aktiviti di luar yang dapat menggerakkan tubuh badan dan melonggarkan segala otot sendi dengan sempurna. Baik, anak lelaki atau perempuan, kalau dapat keluar bermain di padang, dunia itu bagai mereka yang punya. Senyum sampai telinga masing-masing.
Sukan adalah suatu riadah. Secara definisinya, sukan terdiri daripada aktiviti fizikal yang dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti pertandingan, keseronokan, pembangunan, kemahiran, kecemerlangan dan sebagainya.
Terdapat beberapa kepentingan ataupun kebaikan pendidikan jasmani kepada kanak-kanak. Antaranya ialah :

1) Perkembangan Motor Halus dan Kasar

Perkembangan kedua-dua motor ini sangatlah penting kepada pertumbuhan kanak-kanak. Kemahiran motor pada amnya melibatkan hubungan antara otak, sistem saraf dan otak yang bekerja secara bersama.
2) Daya Pemikiran Kreatif

Sukan merupakan salah satu cara untuk kanak-kanak mencabar daya pemikiran mereka. Kanak-kanak dapat bertindak dan menyelesaikan masalah dengan kreatif dalam linkungan batas-batas kemampuan diri sendiri dan masa yang telah diberikan. Itu baru suatu cabaran yang menarik!
3) Sikap Kerjasama

Sifat kepimpinan dan kerjasama antara satu sama lain dapat dibentuk melalui acara sukan. Tiada istilah menang seorang diri dalam dunia hari ini. Semua perkara memerlukan kemahiran bekerjasama untuk sampai ke puncak yang diidam semua.
4) Disiplin
Sukan membentuk displin dan personaliti diri. Latih tubi demi latih tubi dalam suatu rutin sukan yang digemari bakal membuatkan anak itu bertanggungjawab mematuhi arahan dan displin terhadap diri sendiri.
5) Keyakinan Diri
Paling penting ialah semangat percaya pada kebolehan diri sendiri. Sukan mampu melonjakkan jati diri seseorang pelajar apabila setiap tugasan telah diselesaikan dengan sempurna. Ibu bapa juga melonjak gembira!

Hasil carian imej untuk gambar kanak-kanak tadika bersukan

Sabtu, 1 September 2018


CIRI-CIRI TADIKA YANG BERKUALITI

Tadika yang baik merupakan gabungan kehadiran infrastuktur, input pendidik dan usaha kanak-kanaknya. Tadika yang baik seharusnya menyediakan unsur-unsur yang menyokong perkembangan kanak-kanak dari semua segi. Ibu bapa yang mementingkan perkembangan anaknya yang menyeluruh perlu membuat pilihan berdasarkan ciri-ciri berikut:

Ciri 1: Refleksi persekitaran
Sewaktu menjalankan pengajaran, pengajar perlu menghubungkaitkan ilmu tersebut dengan persekitarannya. Contohnya pendidikan berkenaan mengira satu hingga sembilan perlu diikuti dengan permainan yang berkaitan nombor – hopscotch. Peringkat ini dikenali sebagai fasa pengukuhan (reinforcement). Lebih lama fasa pengukuhan digunakan lebih lama pengekalan ilmu atau modifikasi tingkah laku terjadi.

Ciri 2: Hiasan usaha kanak-kanak
Kelas yang suasana menarik dan kondusif belajar perlu dipenuhi dengan gantungan pelbagai hasil aktiviti kanak-kanaknya dan bukan hasilan pendidik atau orang asing. Ejaan yang salah tidak menggambarkan kelemahan kanak-kanak tersebut tetapi melambangkan kebanggaan pendidik dan kawan-kawannya terhadap usaha seseorang kanak-kanak untuk maju.

Ciri 3: Variasi teknik pengajaran
Pendidik yang baik akan mempelbagaikan teknik pengajarannya sepanjang masa. Pendidikan berbentuk formal dan tidak formal digunakan bagi mempertingkatkan kebolehan penyerapan komponen fizikal, intelektual, spiritual dan emosi seseorang kanak-kanak. Sewaktu pengajaran formal, penggunaan pengajaran berkumpulan, kumpulan kecil dan individu perlu digunakan bagi memastikan perkembangan setiap pelajar dilakukan berdasarkan kebolehan dan keperluan setiap kanak-kanak tersebut.

Ciri 4: Penggunaan cerita sewaktu rehat
Apabila penat melakukan pengajaran, pendidik sepatutnya menjalankan sesi bercerita interaktif. Sesi ini akan mempertingkatkan spiritual dan emosi pelajar. Oleh kerana ia dilakukan secara interaktif, jalan cerita dikembangkan berdasarkan kreativiti kumpulan kanak-kanak tersebut. Bagi memastikan sesi ini kurang membebankan, ia dilakukan secara berbaring atau duduk di bawah pokok. Asasnya ia sepatutnya dilakukan di mana sahaja yang dirasai menarik dan boleh mengurangkan tekanan belajar pada kanak-kanak. Perlu ditekankan sesi ini selalunya tidak berjadual dan dilakukan apabila sebilangan pelajar didapati penat.

Ciri 5: Interaksi kanak-kanak di dalam kelas
Interaksi kanak-kanak di dalam kelas melambangkan bagaimana seorang pendidik mengawal kelasnya. Kelas yang diam dengan kanak-kanaknya hanya duduk bermuka bosan perlu dikenal pasti. Jika ini berlaku pendidik untuk kelas tersebut secara tidak langsung menghasilkan persekitaran yang tegang dan dengan itu tidak kondusif untuk belajar. Kanak-kanak pada umur prasekolah perlu boleh bergerak dan berinteraktif tetapi dalam suasana yang terkawal. Jika kanak-kanak tersebut sentiasa bermain, bekerja dengan rakan-rakan dan bahan pengajarannya ini menunjukkan pendidik tersebut berjaya menghasilkan suasana yang interaktif dan mudah berkomunikasi.

Ciri 6: Pengorbanan masa bermain
Pengorbanan masa bermain demi untuk menghabiskan objektif pengajaran akan hanya menghasilkan kanak-kanak yang hanya berupaya memuntahkan maklumat. Kreativiti kanak-kanak akan terencat. Penggunaan kerja rumah sebagai satu teknik untuk meningkatkan kefahaman kanak-kanak pada peringkat ini hanya mencerminkan keupayaan terhad prasekolah untuk mencari teknik pengukuhan alternatif yang lebih baik. Walaupun teknik ini sesuai untuk 5 tahun lepas, penyusunan semula kurikulum pengajian tinggi dan rendah menyebabkan komponen kreativiti lebih diutamakan. Malah pada masa kini pemilihan pekerja lebih mementingkan kreativiti kerana ilmu yang dibawa oleh pemohon hampir sama sahaja.

Ciri 7: Semua sama
Pendidik merupakan manusia biasa yang kerap melakukan kesalahan. Kadangkala pendidik lebih cenderung untuk memberi bantuan kepada seorang kanak-kanak berbanding kanak-kanak yang lain. Walaupun ini terjadi secara tidak sengaja, mekanisma check and balance perlu wujud dalam bentuk pendidik tambahan pada setiap kelas. Ini membolehkan semua kanak-kanak diperlakukan secara saksama dari semua segi. Ia secara tidak langsung menghasilkan persepsi bahawa setiap pelajar dihormati dan setiap pendapat mereka dihargai. Kesalahan yang dilakukan akan dikenakan tindakan yang sama tidak mengira rupa, jantina ataupun kedudukan.

Ciri 8: Minat ke kelas
Indikasi paling mudah bagi menentukan jika sesebuah kelas sesuai dengan seseorang kanak-kanak adalah kecenderungan kanak-kanak tersebut untuk kembali ke kelas untuk keesokan harinya. Jika terdapat tindakan teragak-agak oleh kanak-kanak ia mungkin menunjukkan kehadiran konflik di kelas yang tidak berjaya ditangani oleh pendidik.

Bermain Untuk Kanak-kanak Istimewa Bermain adalah penting untuk kanak-kanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan kep...