ICT dapat ditakrifkan sebagai
pelbagai bentuk peralatan dan sistem yang digunakan untuk memproses, mengurus,
memanipulasi, memindah, menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media
elektronik. Menurut Gunalan A/L Raja Girudran (2011) pada hari ini, ICT
digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan dan pengaruhnya dijangkakan akan
membawa impak yang lebih besar terhadap dunia akan datang (Robertson, 1998).
Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah banyak
memberi kesan yang baik kepada murid-murid tidak kiralah murid-murid di sekolah
rendah atau pun di sekolah menengah. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai
kebaikan yang dapat diperoleh daripada penggunaan teknologi ini seperti
menjimatkan masa, menjadikan pengajaran lebih menarik, memudahkan pencarian
maklumat, melahirkan generasi yang celik IT, meningkatkan kemahiran guru dalam
bidang teknologi dan sebagainya. Tambahan lagi, teknologi dalam pendidikan
bukan lagi isu yang baru untuk diperkatakan. Pengajaran berasaskan teknologi
seperti komputer, kalkulator saintifik dan perisian-perisian terbaru.
Selain itu, kemahiran guru dalam bidang ICT dapat membantu murid-murid
untuk menguasai kemahiran dan ilmu yang bersesuaian dengan minat, bakat serta
potensi murid sekaligus dapat menanam rasa cinta akan ilmu pengetahuan.
Menurut Noor Azean dan Beatrice Andrew (2010) mengatakan pada masa kini ICT
banyak digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan
negara kita. Penggunaan ICT ini juga sering dikaitkan dengan keberkesanannya
dalam kalangan guru-guru.

contoh makmal komputer di sekolah
Meningkatkan
Kemahiran Guru dan Murid
Penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)
dapat membantu guru dan murid meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi
kini kerana mereka akan diberikan pendedahan terhadap pelbagai alatan dan bahan
mengenai ICT seperti komputer, LCD, CD, pendrive, perisian, internet dan
sebagainya. Semua alat ini mempunayi fungsi dan kegunaanya yang tersendiri
dalam menjalani proses PdP di sekolah. Selain itu juga, guru dan murid dapat
menambahkan pengetahuan mengenai sistem ICT melalui PdP yang sedang berlangsung.
Hal ini demikian kerana sepanjang proses PdP tersebut, guru dan murid akan
saling berinteraksi tentang apa-apa yang dipelajari serta bertukar pendapat
mengenai keberkesanan menggunakan sistem ICT ini.
Meningkatkan
Kecekapan dan Keberkesanan Hasil Pembelajaran
Penggunaan ICT dapat membantu guru untuk membuat persiapan pengajaran
dengan lebih cepat dan berkesan. Hal ini demikian kerana kemudahan teknologi
dapat memudahkan pencarian maklumat berkaitan topik pembelajaran yang
diperlukan oleh guru-guru untuk di ajar di bilik darjah. Selain itu, guru-guru
juga dapat menyampaikan PdP dengan lebih berkesan kerana melalui penggunaan ICT
sebagai alat bantu mengajar, guru boleh menggunakan powerpoint, video, flash,
visual dan sebagainya ketika proses PdP berlangsung. Kaedah pengajaran ini
bukan sahaja menarik, malah mampu memberi penerangan yang lebih jelas terhadap
murid-murid.
Menjimatkan
Masa Pencarian Maklumat
Penggunaan teknologi dalam PdP juga boleh menjimatkan masa seseorang
guru dan murid untuk mendapatkan apa-apa maklumat berkaitan dengan topik
pembelajaran. Hal ini demikian kerana melalui kemudahan internet, guru dan
murid boleh membuat pencarian di hujung jari sahaja dan maklumat tersebut akan
terpapar pada skrin komputer atau apa-apa kemudahan teknologi pintar yang lain
dalam masa yang singkat sahaja. Guru dan murid tidak perlu lagi mencari
akhbar-akhbar lama untuk mengutip maklumat, namun begitu kaedah ini masih boleh
digunakan tetapi teknologi yang ada pada masa kini lebih memudahkan guru serta
menjimatkan masa guru itu sendiri.
Menarik
Minat Murid untuk Belajar
Penggunaan ICT juga boleh menarik minat murid
untuk meneruskan PdP. Hal ini demikian kerana, murid-murid pada hari ini sangat
gemar menggunakan teknologi dalam kehidupan seharian seperti komputer dan
telefon pintar. Oleh sebab itu, sebagai seorang guru kita perlu peka dengan
perkembangan yang sedang berlaku. Penggunaan ICT dalam bilik darjah akan
mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih aktif dan menyeronokkan. Hal ini
demikian kerana murid-murid akan tertarik dengan penggunaan slaid yang canggih,
bunyi-bunyi yang boleh dihasilkan melalui perisian yang canggih dan sebagainya.




